Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini menolak permohonan Ketua Polis Negara serta 3 pegawai kanan polis untuk membatalkan saman ke atas mereka dan 3 defendan lagi di atas dakwaan melakukan kecuaian dan konspirasi tort secara salah dengan niat menyebabkan kerugian dengan cara penipuan atau menyalahi undang-undang ke atas plaintiff Michael Ingkian tujuh tahun lalu.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas membaca keterangan afidavit dan mendengar hujahan daripada peguam Plaintif Mohd Azhier Farhan Arisin dan Peguam Persekutuan Dorine Patrick daripada Jabatan Peguam Negara.
Di dalam pernyataan tuntutan yang difailkan oleh plaintif Michael Ingkian ke atas 7 defendan, plaintiff mendakwa pihak polis telah dengan secara cuai menyebabkan kehilangan motosikal miliknya sewaktu di dalam jagaan polis. Michael yang sebelum ini terlibat dengan kemalangan jalan raya pada 14.10.2010 mendapati motorsikal dibawah jagaan polis sewaktu siasatan telah hilang dan mendakwa telah dilupuskan secara salah kepada pemilik kedai permotoran.
Aduan plaintif berkenaan salahlaku tersebut tidak diendahkan berbulan-bulan lamanya sehingga beliau terpaksa mendedahkan salahlaku tersebut di dalam media tempatan. Dakwaan tersebut yang mendapat perhatian meluas akhbar pada tahun 2010 sehingga 2011 bagaimanapun disangkal oleh pihak polis melalui beberapa kenyataan dan sidang media sebelum ini.
Plaintif turut mendakwa bagi menutup kesalahan mereka, pihak polis telah secara sembunyi menggantikan motosikal plaintif yang hilang dengan motorsikal model serupa. Plaintif hanya menyedari muslihat tersebut apabila menghantar motorsikal tersebut untuk pemeriksaan PUSPAKOM dan pemeriksaan mendapati chasis enjin motor telah dikacau ganggu dan diubah daripada chasis enjin yang asal. Keputusan pemeriksaan tersebut menambah rasa syak plaintif bahawa pihak polis dan pemilik kedai permotoran melakukan konspirasi tort secara salah dengan niat menyebabkan kerugian dengan cara penipuan atau menyalahi undang-undang.
Di dalam penghakiman bertulis, Hakim Mahkamah Sesyen Egusra Ali membuat keputusan bahawa hujahan Peguam Persekutuan kononnya saman terbabit tidak berasaskan kausa tindakan yang sah, bersifat remeh-temeh (vexatious) bertujuan menimbulkan skandal dan menyalahi proses Mahkamah adalah kurang benar setelah meneliti secara keseluruhan pernyataan dan hujahan plaintif.
Mahkamah menambah kausa tindakan dan remedi yang dipohon oleh plaintif tidak menimbulkan isu res judicata kerana tuntutan saman terdahulu yang dikemukakan oleh peguam lama plaintif belum didengar sepenuhnya secara merit dan tuntutan baharu adalah berbeza.
Mahkamah turut bersetuju dengan hujahan peguam plaintif bahawa tuntutan Plaintif dalam saman ini tidak dihalang masa kerana tuntutan atau punca tindakan bersandarkan kepada penemuan bukti baru iaitu motosikal Plaintif disahkan oleh PUSPAKOM telah diganggu pada 15.04.2016. Oleh itu, tempoh had 36 bulan di bawah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam hanya bermula daripada 15.04.2016.
Tiga defendan lain yang turut dinamakan dalam saman tersebut adalah Kerajaan Malaysia, penolong pegawai penyiasat trafik Balai Polis Trafik Kota Kinabalu dan pemilik kedai permotoran terkemuka di Kota Kinabalu.
Mahkamah menetapkan 28.09.2017 sebagai tarikh pengurusan kes ini.